+605 829 0222 admin@mpr4u.my

Sekarang di negeri Perak, memang musim durian. Harga durian pun dah tak mahal sangat sekarang ni. Boleh la nak makan lebih-lebih sikit. Pembeli sekarang pun dah pandai, terus ke punca buahnya iaitu di Batu Kurau atau Bukit Gantang. Ada yang beli sikit dan ada juga yang beli sampai penuh boot kereta. Memang pesta durian nampaknya. Jadi tidak salah rasanya, kami nak berikan lagi tips bagaimana untuk menghilangkan bau durian dalam kereta anda.

Memang bau durian boleh mengganggu hidung mereka yang tidak suka dengan raja buah ini, memandangkan ia agak meloyakan dan lebih sadis apabila si peminat durian sendawa dalam kereta yang pasang penyaman udara. Perghhh!!! Hilang terus kenyamanan udara dalam kereta tersebut. Itu ditambahkan lagi dengan bau durian ‘take away’ yang di bawa pulang ke rumah.

Jadi ini ada 5 (lima) bahan yang boleh anda gunakan untuk menghilangkan bau durian dalam kereta.

 

Coffee, Coffee Cup, Porcelain, Coffee Beans

1. Kopi

Kopi memang minuman yang sangat mengujakan para penggemarnya dan juga mujarab untuk menghilangkan bau durian dalam kereta anda. Aromanya yang kuat dan wangi mampu menyerap segala bau yang berada di persekitarannya. Cara untuk menggunakannya adalah seperti ini, bancuh segelas kopi dengan air panas dan biarkannya selama 20 minit di dalam bonet kereta. Bau durian akan terus lenyap selepas itu. Sambil menunggu tu boleh la minum kopi secawan dulu kan?

 

Bread, Candy, Pies

2. Roti

Eh, lepas kopi dibantainya roti pula. Tapi bukan kami suruh anda makan roti sambil cicah air kopi tadi. Sebenarnya, roti juga mampu menyerap bau durian dalam kereta anda. Caranya seperti ini, letakkan beberapa keping roti di dalam bonet kereta selama dua hari. Setelah dua hari bau tersebut akan hilang dan anda boleh la membuang roti tu. Kalau nak elakkan pembaziran, eloklah cari roti dah yang nak tamat tempoh luputnya.

 

Bottle, Bottles, Vinegar, Oil, Still Life

3. Cuka

Cuka bukan sahaja boeh digunakan sebagai penambah perisa dalam makanan, tapi ia juga mampu menghilangkan bau durian dalam kereta anda. Caranya, letakkan semangkuk cuka di dalam bonet selama beberapa jam. Setelah itu bau busuk durian dalam bonet kereta anda akan hilang.

 

Charcoal, Material, Background

4. Arang

Jangan ingat arang hanya digunakan sebagai bahan bakar. Cuba letakkan beberapa ketul arang di dalam bonet kereta dan ia akan menyerap segalau bau dalam ruang tersebut termasuklah bau hapak dan bau durian. Cara ini memang terbukti berkesan, tapi jangan la pi cucuh api pula kat arang tu, bukan nak perasap bonet kereta pun.

 

5. Daun Pandan

Satu lagi bahan masakan yang mempunyai aroma yang sangat wangi iaitu daun Pandan juga mampu menyelasaikan masalah bau durian dalam kereta anda. Caranya, letakkan beberapa helai daun pandan dalam bonet kereta anda dan bau durian itu akan dinyahkan dan hilang dengan pantas.

Selamat mencuba!

Facebook Comments

Pin It on Pinterest