+605 829 0222 admin@mpr4u.my

Sewaktu masih bujang atau berkeluarga kecil, pastinya tidak pernah langsung di dalam fikiran anda untuk menggunakan MPV (Multi Purpose Vehicle). Anda hanya fikirkan untuk gunakan kereta-kereta yang kelihatan bergaya dan lebih fokuskan kepada kepuasan dalam memecut sahaja. Lain pula halnya apabila keluarga anda semakin bertambah besar. Anda perlukan sebuah kereta yang jauh lebih besar bukan sahaja untuk menampung bilangan ahli keluarga anda yang bertambah tetapi anda juga perlu memikirkan ruang untuk meletakkan barang-barang yang semakin bertambah juga. Ketika itulah anda mula mempertimbangkan untuk mendapatkan MPV. MPV ni ada berbagai jenis kategori daripada yang bersaiz kecil, sederhana dan beraiz besar. Ia juga mempunyai susunan kerusi yang berbeza seperti 2-2-3 (bermaksud ia mempunyai 2 kerusi di bahagian hadapan, 2 kerusi di bahagian tengah dan 3 kerusi di bahagian belakang) serta 2-3-2 (iaitu 2 kerusi di bahagian hadapan, 3 kerusi di bahagian tengah dan 2 kerusi di bahagian belakang). Dah macam formasi bola sepak.

Di Malaysia, kebanyakan MPV adalah pada harga yang agak tinggi dan bukan dalam kategori mampu milik. MPV yang mampu milik kebiasaannya adalah bersaiz mini dan tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk meletakkan kesemua barang di tempat yang sepatutnya. Besar kemungkinan, dibahagian penumpang juga terpaksa untuk anda letakkan barang. Situasi ini akan bertambah parah tatkala pulang beraya di kampung halaman pada musim perayaan. Jika jaraknya adalah dekat, maka masih boleh lagi untuk keluarga anda bertahan dalam ketidakselesaan tersebut tetapi jika ia merupakan jarak yang jauh sebagai contoh daripada Perlis ke Johor, ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas, anda sendiri boleh bayangkan bagaimana perasaan ahli keluarga anda. MPV yang dikeluarkan daripada negara-negara di Eropah pastinya sesuai buat anda yang mempunyai masalah tersebut seperti Volkswagen Sharan atau Peugeot 5008.

Kebanyakan MPV generasi baru adalah merupakan MPV yang menggunakan teknologi yang lebih baik dalam penggunaan minyak dan mampu mengurangkan kadar pencemaran. Ia jauh berbeza dengan MPV generasi lama yang lebih mengfokuskan kepada memaksimumkan ruang. MPV generasi terkini bukan sahaja mempunyai saiz yang lebih besar malah ia juga boleh dikategorikan sebagai MPV jimat minyak. Ia berkait rapat dengan teknologi enjin yang digunakan. Contoh MPV yang bersaiz besar dan menjimatkan minyak adalah Toyota Estima 2WD, Mazda Biante, Honda Odyssey dan Toyota Serena S-Hybrid. Cara terbaik untuk anda mengetahui samada MPV tersebut benar-benar jimat minyak atau sebaliknya bukanlah dengan mempercayai kata jurujual sahaja. Sebaliknya, anda boleh dapatkan pendapat daripada mereka yang pernah menggunakannya dan juga daripada review yang anda boleh dapatkan di internet. Selain itu, jika anda benar-benar ingin memaksimukan penjimatan minyak anda, cari MPV yang menggunakan diesel seperti Citroen Grand C4 Picasso. Sekali lagi, anda perlu dapatkan pendapat dan review daripada mereka yang pernah menggunakannya.

Ramai yang beranggapan bahawa MPV akan mengurangkan keseronokan untuk memandu sekaligus mereka menolak ketepi tentang keselesaan ahli keluarga mereka. Apa kata anda dapatkan situasi yang menang-menang? Terdapat beberapa MPV yang masih seronok dipandu walaupun secara umumnya MPV lebih mengfokuskan kepada keselesaan penumpang dan mempunyai pusat graviti yang lebih tinggi berbanding kereta lain sekaligus menjadikannya tidak sesuai dipandu laju ketika melalui selekoh. Antara MPV yang mampu memberikan anda kepuasan memandu adalah Honda Odyssey, Peugeot 5008, Citroen Grand C4 Picasso dan juga Volkswagen Cross Touran. Hal ini kerana MPV seperti yang telah dinyatakan ini bersifat lebih kompak dan mempunyai suspensi yang lebih keras.

Sekian sahaja untuk artikel kali ini mengenai MPV jimat minyak. Anda harus sedar bahawa bukan sahaja kepuasan anda dalam memandu perlu diutamakan. Anda juga perlu pentingkan kepuasan keluarga anda dan penumpang yang lain.

Facebook Comments

Pin It on Pinterest