+6010 510 9300 admin@mpr4u.my

Berniaga adalah suatu kegiatan ekonomi yang amat digalakkan Islam kepada umatnya kerana aktiviti perniagaan menjanjikan hasil pulangan berlipat ganda kepada peniaga yang berusaha bersungguh-sungguh. Rasulullah juga merupakan ahli perniagaan yang hebat dan telah menawan hati ramai orang dengan cara Baginda berniaga. Perniagaan adalah perkara yang penting dalam Islam, malah menjadi satu terminologi yang sering disebut dalam al-Quran, contohnya:

“ Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan rugi (35:29)”

“ Wahai orang-orang yang beriman. Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Yakni kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (61:10-11)”

Kenapa Allah menyebut perniagaan dan bukan pekerjaan? Kerana perniagaan itu ialah sesuatu yang menguntungkan dan memerlukan usaha tulang empat kerat kita sendiri. Dan boleh juga merugikan sekiranya tidak dijalankan dengan betul.

Rasulullah pernah bersabda tentang pemilikan harta:

“Harta itu merupakan kekayaan terpuji TETAPI hanya bagi orang yang soleh, kerana orang yang soleh akan menggunakan hartanya secara bijaksana, tidak dikotori rasa angkuh yang menghilangkan keberkatan dari Allah.”

Ingin tahu cara Rasulullah kita berniaga? Teruskan membaca tips berniaga Rasulullah.

TIPS BERNIAGA RASULULLAH

1. Tiada Perdebatan

Tidak pernah sekali Rasulullah menyakiti hati peniaga lain. Hal ini diakui oleh mereka yang pernah berurusan dengan Baginda SAW sebelum Baginda diangkat menjadi rasul lagi.

Pernah seorang peniaga bernama Saib bin Ali Saib datang menemui Rasulullah SAW. Melihat Saib datang, Rasulullah berkata, “Mari, mari. Selamat datang saudara saya, dan rakan niaga saya yang tidak pernah bertengkar,” kata Rasulullah.

Saib membalas dengan berkata, “Kita tidak pernah bertengkar sebab tuan peniaga yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan.”

 

2. Teknik Menjual Kreatif

Mengikut riwayat, Nabi menjual barang-barang Baginda tidak seperti diamalkan oleh kebanyakan peniaga atau lain-lain saudagar ketika itu. Baik peniaga Arab atau pun bukan Arab.

Biasanya para peniaga kebanyakannya meletakkan harga yang setinggi mungkin. Tetapi Nabi menjualnya dengan cara memberitahu harga kos dan meminta para pelanggan atau pembeli pembayar berapa harga yang mereka kehendaki.

Dengan cara ini, bukan keuntungan yang kita kejar, tapi hasil dari rundingan anda, mungkin pembeli tersebut suka dan akan datang lagi dan ajak orang lain pula untuk membeli dari anda juga.

 

9 Cara Rasulullah Berniaga

3. Sentiasa Senyum

Perbanyakkan senyum. Pelanggan akan berpuas hati dan merasa tenang sekiranya anda selalu senyum. Tidak kiralah dalam keadaan penat, sedih atau marah, jangan sesekali anda tunjukkan masalah tersebut kepada pelanggan.

Layan mereka sebaik mungkin, kerana mereka adalah rezeki yang datang daripada Allah. Walaupun tutur kata tidak seberapa, tetapi para pelanggan tetap menggemari orang yang berwajah manis dan selalu memberi senyuman kepada orang.

 

9 Cara Rasulullah Berniaga

4. Jujur Berniaga

Baginda bersabda, “Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).

Dalam konteks ini, kejujuran ditekankan kerana kejujuran merupakan antara elemen terpenting dalam perniagaan. Ketika kita berbincang mengenai perniagaan seorang Muslim, kita sebenarnya sedang membincangkan satu konsep perniagaan yang membangunkan hubungan kepercayaan di antara peniaga dan pelanggan, dan piawaian ini tidak boleh dicapai dengan adanya dusta dan penipuan.

Pada suatu hari, Rasulullah berjalan-jalan di kawasan pasar bandar Madinah. Baginda lalu di hadapan seorang peniaga yang menjual buah-buahan yang dilonggok-longgokkan.

Rasulullah memeriksa buah-buahan itu dengan memasukkan tangannya ke dalam satu longgokan. Kemudian Rasulullah menarik tangannya keluar dan menunjukkan jarinya yang basah kepada peniaga itu.

“Apa ini saudara ?” tanya Rasulullah.

“Terkena hujan, tuan,” kata peniaga itu.

“Mengapa saudara tidak letakkan buah-buahan yang basah itu di sebelah atas supaya orang dapat melihatnya ?” kata Rasulullah.

Kemudian Baginda berkata lagi,

“Barang siapa menipu, dia bukan pengikut saya.”

 

9 Cara Rasulullah Berniaga

5. Tidak Bersumpah Palsu

Dengan tegas, Rasulullah SAW mengecam amalan perdagangan yang dipenuhi tipu daya.

Apalagi sampai bersumpah palsu, mengandungi unsur riba atau berbisnes di pasar gelap. Sebab, model menjalankan bisnes seperti itu tak saja merugikan orang lain, tapi juga membuat perniagaan yang dijalankan tidak lancar.

Hal itu sebagaimana ditegaskan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis, “Penjual dan pembeli memiliki hak pilih selama belum berpisah. Apabila mereka jujur dan mahu menerangkan (keadaan barang), mereka akan mendapat berkat dalam jual-beli mereka. Dan jika mereka bohong dan menutupi (cacat barang) akan dihapuskan keberkatan jual-beli mereka.” (HR. Muslim)

Rasulullah SAW mengajarkan kepada para sahabat untuk tidak melakukan sumpah, selain mengakibatkan kehilangan berkatnya.

 

9 Cara Rasulullah Berniaga

6. Lemah Lembut

Baginda Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut ketika menjalankan perniagaan. Jabir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Allah SWT mencucuri rahmat kepada orang yang berbuat baik ketika ia berjual, ketika ia membeli dan ketika ia membuat tuntutan.”

 

9 Cara Rasulullah Berniaga

7. Bukan Mengejar Harta Semata-mata

Rasulullah SAW bekerja keras mencari penghidupan yang halal. Baginda menjalankan perniagaan bukan sahaja untuk menyara kehidupan Baginda tetapi juga untuk mengukuhkan potensi Baginda agar orang yang kaya tampil ke hadapan untuk menghulur modal mereka untuk digunakan oleh Baginda bagi tujuan perniagaan.

Muamalah seperti ini amat digalakkan oleh Islam kerana terdapatnya unsur bantu membantu di kalangan mereka yang berada dan tidak berada.

Firman Allah SWT dalam surah Al Ma’idah ayat 2: Bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bantu membantu dalam perkara-perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu sekali-kali bantu membantu dalam perkara-perkara kejahatan dan permusuhan.”

 

9 Cara Rasulullah Berniaga

8. Fasih Tutur Kata

Rasulullah SAW merupakan seorang yang mempunyai kefasihan dalam tutur katanya. Tutur katanya lembut, lunak didengar, tidak pernah berbohong dan sentiasa jujur. Oleh itu, tidak hairanlah apabila Baginda mengendalikan perniagaan harta Khadijah, Baginda memperoleh keuntungan yang banyak.

Terdapat sebuah hadis yang menceritakan kefasihan Baginda yang telah diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dari Syaidatina Aishah, bermaksud:

“Adalah Rasulullah berkata-kata dengan perkataan yang terang serta jelas lagi tegas, dapat difahami oleh setiap orang yang mendengarnya (duduk bersama Baginda).

 

9 Cara Rasulullah Berniaga

9. Keuntungan Maksimum Adalah Mungkin

Walaupun ada ustaz (penceramah) yang mengatakan untung hanya boleh diambil sekitar 30% sahaja, namun kata-kata Rasulullah SAW lebih utama untuk kita jadikan pegangan.

Terdapat satu hadis sahih yang menceritakan, seorang sahabat Nabi membeli dua ekor kambing dengan 1 dinar. Kemudian, sahabat itu tadi menjual salah seekor kambing itu dengan harga 1 dinar.

Bermaksud, di tangannya ada seekor lagi kambing dan wang sejumlah 1 dinar. Sahabat itu datang kepada Rasulullah dan kemudian menyatakan apa yang telah beliau lakukan (menjual dengan cara begitu).

Rasulullah tidak berkata apa-apa melainkan mendoakan agar sahabatnya itu mendapat keberkatan dalam perniagaan yang dilakukannya.

Ada lagi hadis sahih lain riwayat Abu Daud di mana Rasulullah ditanya mengapa tidak ditetapkan keuntungan maksimum (kawal kadar keuntungan). Lantas Rasulullah menyatakan, itu adalah satu ‘kezaliman’ untuk para peniaga.

Daripada 2 contoh di atas berasaskan dalil yang sahih, kita dapati tidak mengapa kita menaikkan keuntungan sesuatu jualan produk sehingga 100%. Cuma yang dilarang adalah menyorokkan barangan keperluan asasi manusia pada ketika permintaan mendadak, dan dijual kembali apabila harganya dinaikkan. Ataupun apabila pihak pemimpin (kerajaan) menetapkan sesuatu perkara, maka kita wajib mematuhinya.

Oleh itu, marilah kita contoh cara-cara bisnes Rasulullah SAW, yakni akan memperoleh pahala kerana mengikut sunnah Baginda.

 

 

 

 

Facebook Comments

Pin It on Pinterest