+605 829 0222 admin@mpr4u.my
Rasanya ramai pernah mendengar atau terbaca tentang sistem brek anti-kunci ini ataupun dikenali sebagai ABS, iaitu Anti-lock Braking System.
 
Sistem ABS ini sudah sedia dijadikan ciri standard kereta penumpang sedekad lalu.
 
Sistem ABS sudah diperkenalkan sejak lewat 1940-an dan pertama kali digunakan untuk sistem brek kapal terbang sebelum diadaptasikan model Britain, Jensen FF (1966-71)
 
Kini, Sistem ABS ini merupakan antara ciri keselamatan yang dilengkapi di dalam kebanyakan kenderaan moden bagi mengelakkan dari berlakunya kemalangan.
 
 

Bagaimana Anti-lock Braking System ABS berfungsi?
 
 
Seiring dengan namanya, sistem ini berfungsi untuk mengelak brek dari terkunci (anti-lock = anti-kekunci) semasa membrek.
 
Perlu diingat, sekiranya brek terkunci kenderaan berisiko tinggi untuk tergelincir dan menyukarkan pemandu untuk mengawal stering dan seterusnya kemungkinan untuk berlaku kecelakaan dan kecederaan maut lebih tinggi!
 
Sistem ini berfungsi dengan cara mencengkam dan lepas brek dengan kadar sangat cepat.
 
Sistem ABS juga mampu mengenal pasti bilakah patut ia diaktifkan menerusi beberapa siri sensor roda yang memantau kelajuan putaran roda. Sensor-sensor berkenaan melihat kepada situasi roda yang berputar pantas dan tiba-tiba jadi perlahan mendadak yang disertakan input tekanan pedal brek.
 
Ringkasnya, ABS akan mengawal brek ketika menghampiri keadaan roda terkunci, kemudian melepaskan tekanan ke atas brek untuk membenarkan ia terus berputar sedikit dan berterusan menaikkan tekanan lagi, lepas, naik dan seterusnya hingga anda berhenti.
 

 
Apakah komponen yang terdapat dalam Sistem ABS ini?
 
1.Pengesan kelajuan
 
Sistem brek cegah kunci memerlukan satu cara untuk mengetahui sama ada sesebuah roda itu hampir terkunci. Pengesan kelajuan, yang terletak pada setiap roda, atau dalam sesetengah kes, gear pembeza, memberikan maklumat tersebut.
 
2.Injap
 
Terdapat sebuah injap pada talian brek bagi setiap brek yang dikawal oleh ABS. Dalam sesetengah sistem, injap tersebut mempunyai tiga kedudukan:
  • Dalam kedudukan satu, injap terbuka; tekanan dari silinder utama dilalukan melaluinya ke brek.
  • Dalam kedudukan dua, injap menyekat talian, mengasingkan brek daripada silinder utama. Ia mencegah tekanan daripada terus naik apabila pemandu menekan injak brek dengan lebih kuat.
  • Dalam kedudukan tiga, injap melepaskan sebahagian tekanan daripada brek.
 
3.Pam
 
Semasa sistem ABS beroperasi talian brek hilang tekanannya. Pam tersebut membekalkan semula tekanan kepada sistem.
 
4.Pengawal
 
Pengawal merupakan ECU di dalam kereta yang menerima maklumat daripada pengesan kelajuan roda individu, yang mana jika roda hilang cengkaman maka isyarat dihantar kepada pengawal, kemudian pengawal akan mengehadkan daya brek (EBD) dan mengaktifkan modulator ABS yang membuka dan menutup injap brek.
 
 

 
 
Sungguhpun kenderaan kita telah dilengkapi dengan Sistem anti brek ini mahupun dikenali sebagai ABS, kita sebagai pemandu yang bertanggungjawab haruslah sentiasa berwaspada di jalan raya.
 
Elakkan memandu secara agresif di jalan raya dan pastikan jarak pemanduan kereta anda dengan kereta yang lain adalah sesuai.
Pastikan juga untuk memakai tali pinggang keselamatan , ingatlah orang yang tersayang yang menunggu anda di rumah.
 
“Pandu Cermat, jiwa selamat”
Facebook Comments