+6010 510 9300 admin@mpr4u.my
Pernahkah anda menghentikan pergerakan anda , lihat telatah manusia sekeliling anda dan menyedari betapa bertuahnya anda diberi peluang untuk menghirup udara segar di bumi ciptaan Allah SWT.
 
Pejamkan mata, bayangkan perkara-perkara indah di hidup anda , balas senyuman orang yang menyapa anda. Indah bukan betapa sekecil-kecil zarah perlakuan manusia boleh membawa kebahagiaan kepada kita.
 

 
Betapa mudahnya konsep syukur jika kita dapat melihatnya dari sisi lain dalam kehidupan.
 
Pernah saya terbaca akan luahan seorang pekerja di pasaraya yang mana tugasnya adalah untuk menimbang berat barang-barang di pasaraya itu.
 
Tugasnya tidak berat tapi kadang amat memenatkan bila tiba waktu kemuncak di pasaraya tersebut. Satu demi satu bungkusan pelanggan ditimbangnya.
 
kakinya sudah lenguh berdiri, manusia di pasaraya itu berganti-ganti. Dia tahu akan tanggungjawab yang digalasnya maka ikhlaslah dia sepanjang bekerja.
 
Datang satu pelanggan, seorang anak kecil berumur hampir 10 tahun, menyua bungkusan untuk ditimbangnya. Barangkali disuruh ibunya untuk ditimbang kerana terlihat seorang wanita berusia dibelakangnya.
 
Bungkusan itu ditimbang dan ditampal tanda harga, disua kepada anak kecil itu.
 
“Terima Kasih bang”
 
Anak kecil itu mengulum senyuman manis tanda terima kasih.
 

 
 
Alangkah terharunya dia mendengar ucapan itu. Pendek, tapi amat bermakna. Hilang segala kepenatannya yang sudah bekerja dari pagi.
Kalimah ‘terima kasih’ yang didengarnya cukup menyejukkan hatinya. Pertama kali dia mendengar ucapan itu terbit dari bibir pelanggannya.
 
Lihatlah dari kisah pendek tersebut, betapa gembiranya pekerja itu dan bersyukurnya dia setelah mendengar ucapan ‘terima kasih’ dari anak kecil itu. Justeru itu, kebahagiaan itu kadang akan datang kepada kita jika kita mensyukuri segala nikmat yang dilimpahi kepada kita walaupun ianya sekadar ucapan terima kasih.
 
عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا
لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
 
Daripada Shuhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”
 
(Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 2999)
 
Adalah penting sifat syukur apabila seseorang mendapat kebaikan dan bersabar apabila ditimpa musibah kerana ianya menjadikan seseorang itu sebenar-benar Mukmin tetapi amatlah sedikit dalam kalangan hamba yang diberikan dua sifat ini. Justeru, taufik dan hidayah Allah SWT amat diperlukan untuk meraih anugerah ini kerana sifat syukur dan sabar itu adalah sebaik-baik nikmat.
 
Apa kata mulai detik ini, kita cuba positifkan diri dan bersyukur di atas segala apa yang diberi. Percayalah jika kita sabar dan redha, ketika itulah Allah akan melapangkan dada kita, kita pasti akan menemui kebahagiaan di mana saja kita berada.
Facebook Comments