fbpx
+6010 510 9300 admin@mpr4u.my

Adakah anda telah bersiap sedia dengan juadah berbuka ketika membaca artikel ini? Atau anda telah pun berbuka beberapa jam tadi dan masih kekenyangan?

Tidak dinafikan, puasa akan menjadikan kita letih dan berasa lapar. Ada hari, tenaga dirasakan banyak dan lapar tidak terlalu ketara. Ada pula hari badan terasa benar-benar penat ditambah lagi dengan kepenatan melakukan kerja-kerja dan urusan seharian.

Apapun keadaan ketika kita berbuka, semoga ianya tidak menjadikan kita seorang yang terlalu rakus dengan apa yang ada di hadapan mata. Makanlah dengan berpada-pada. Bercakap soal makan, kerap kali kita mendengar bahawa Nabi menganjurkan makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Hadis yang tersebar dan biasa dirujuk pula adalah seperti di bawah,

نحن قوم لا نأكل حتى نجوع وإذا أكلنا لا نشبع

“Kita (kaum muslimin) adalah kaum yang hanya makan bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang”

Pun begitu, Syaikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah berpendapat bahawa:

هذا المعنى صحيح لكن السند فيه ضعيف. [يراجع في زاد المعاد والبداية لابن كثير]. وهذا ينفع الإنسان إذا كان يأكل على جوع أو حاجة، وإذا أكل لا يسرف في الأكل ، ويشبع الشبع الزائد، أما الشبع الذي لا يضر فلا بأس به

“Maknanya benar, namun sanadnya dha’if, silakan merujuk ke kitab Zaadul Ma’ad dan Al Bidayah Wan Nihayah. Bermanfaat bagi seseorang jika makan ketika sudah lapar atau sedang membutuhkan. Dan ketika makan, tidak boleh berlebihan sampai kekenyangan. Adapun kekenyangan yang tidak membahayakan, tidak mengapa”.

Apabila diperiksa, memang tarafnya dhaif dan tidak diketahui asalnya. Cuma melalui cerita-cerita sirah kita mengetahui bahawa dalam banyak keadaaan Nabi kesempitan makanan atau makan tamar (kurma) sahaja. Dalam waktu yang lain, baginda lebih megutamakan orang yang lebih lapar dan memerlukan. Tidak ada keadaan di mana Nabi benar-benar makan terlalu kenyang seperti kita sekarang.

Jadi bagaimana seharusnya kita berbuka pada bulan puasa?

#1- Minum Air Dan Makanan Ringan Dahulu Kira-Kira 10 Minit Selepas Waktu Berbuka

Dengan minum air dahulu dan makan makanan ringan selepas masuk waktu Maghrib sebenarnya dapat memberi ‘signal’ kepada otak bahawa perut sedang bersedia untuk menerima makanan. Ia juga dapat membezakan antara rasa dahaga atau rasa lapar yang sebenar.

Mengikut kajian, otak mengambil masa 20 minit untuk ‘menyedari’ bahawa perut anda telah kenyang. Maka dengan mengalas perut dengan makanan yang ringan dahulu ketika berbuka, ia dapat mengelakkan anda makan secara berlebihan.

#2- Kunyah Makanan Dengan Perlahan

Apabila sudah seharian perut kosong, tekak pula terasa kering dan dahaga, mudah sekali untuk kita ‘menyerang’ makanan yang ada di hadapan mata. Mengunyah makanan dengan perlahan dapat memberi masa kepada perut anda ‘mengembang’, menerima makanan dan juga untuk membuat anda berasa kenyang.

#3- Ambil Perhatian Dengan Perubahan Badan Anda

Bagi mengawal perasaan ingin makan terlalu banyak apabila berbuka, apa kata anda ambil masa bertenang sebelum berbuka. Apabila anda mula menjamah kurma dan minum air, cuba perhatikan bagaimana perut anda bertindak balas.

Pasti setelah beberapa minit berlalu, perasaan yang tadinya lapar perlahan-lahan berkurang tanpa anda perlu makan banyak. Apabila anda mula makan makanan berat, rasakan pula bagaimana perut anda mula terisi dan apabila anda merasakan sedikit tekanan pada perut, maka itu adalah tanda perut anda sudah penuh dan anda perlu berhenti makan.

#4- Jangan Tidur Terlalu Lambat

Kajian juga menunjukkan bahawa tidak mendapat tidur yang cukup juga boleh membuatkan seseorang makan lebih banyak. Kajian yang pernah dijalankan di Amerika Syarikat mendapati bahawa wanita yang tidak mendapat tidur yang cukup mengambil sebanyak 300 kalori lebih dalam sehari.

Jadi setelah anda melakukan solat sunat tarawih pada waktu malam, elakkan berjaga hingga larut malam. Rutin ini dapat membantu agar anda tidak makan terlalu banyak sewaktu berbuka.

Akhirnya, bulan Ramadan adalah bulan cabaran bagi mengekalkan produktiviti sekalipun berpuasa. Ramadan bertujuan untuk membaiki dan ‘refresh‘ semula rutin kita menjadi lebih baik. Selamat berbuka!

Dipetik dari www.tzkrh.com

Facebook Comments

Pin It on Pinterest